Pengertian umum Sujud Sahwi adalah sujud yang dilakukan secara khusus kerana lupa atau ragu-ragu dalam mengerjakan salah satu perbuatan atau bacaan solat,terutama hal-hal yang menyebabkan solat menjadi cacat atau kurang sempurna.
Sujud Sahwi berfungsi sebagai "denda" dari kelupaan atau keraguan. Ia dapat dilakukan dengan 2 cara :
1. Sujud Sahwi sesudah tahiyat akhir sebelum salam dalam erti kata
dilakukan dalam solat.
2. Sujud Sahwi ini dikerjakan setelah selesai solat; apabila kelupaan/keraguan itu diketahui sesudah memberi salam.
Sujud Sahwi dilakukan dengan 2 kali sujud, masing-masing didahului oleh
ucapan "Allahu Akbar" tanpa mengangkat tangan dan diakhiri dengan memberi salam “Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”.
Dalil-Dalilnya:
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang di antara kamu berdiri hendak solat, sesungguhnya syaitan akan mendatanginya lalu mengganggunya, sehingga orang itu tidak tahu lagi berapa raka'at yang telah dikerjakannya. Apabila di antara kamu mengalami yang
demikian itu, hendaklah ia sujud sahwi dua kali sambil duduk.
(Hadith Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang melaungkan azan, syaitan akan lari lintang-pukang sehingga ia tidak lagi mendengar suara azan itu. Setelah azan selesai, syaitan itu kembali semula dan berlari lagi tatkala ia mendengar suara Iqamah; kemudian ia kembali lagi dan ketika itu terlintaslah dalam hati orang yang solat berbagai perkara, karena syaitan itu membisikkan kepadanya, ingatlah ini, ingatlah itu, tentang soal-soal yang tidak pernah diingat sebelum solat, sehingga orang itu meragui berapa raka'at yang telah dilakukannya, hendaklah ia sujud dua kali sambil duduk. (Hadith Riwayat Muslim).
Dari Abdullah bin Buhainah, bahawa Rasulullah s.a.w. solat Zuhur bersama mereka, beliau terus berdiri setelah dua rakaat pertama dan tidak duduk. Para jama'ah pun tetap mengikuti Baginda sehingga Baginda selesai menyempurnakan solat, orang-orang pun menunggu salam Baginda, akan tetapi Baginda bertakbir dalam keadaan duduk (tasyahhud akhir), kemudian Baginda sujud dua kali sebelum salam, lalu salam (Muttafaq ‘Alaih).
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang sembahyang dan menurut kata Ibrahim: Baginda menambah atau mengurang rakaat sembahyangnya, maka setelah selesai memberi salam, baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah ada sesuatu yang telah terjadi pada sembahyang tadi? Rasulullah s.a.w bertanya kembali: Perkara apakah itu? Lalu dijawab: Sesungguhnya kamu telah mengerjakan sembahyang begini dan begini. Beliau berkata: Seketika itu juga Rasulullah s.a.w melipatkan kedua kakinya dan mengadap kiblat, lalu baginda sujud sebanyak dua kali, lantas baginda memberi salam. Kemudian beliau berpaling ke arah kami seraya bersabda: Seandainya terjadi sesuatu semasa dalam sembahyang, maka aku ingin menerangkannya kepada kamu. Tetapi aku juga manusia biasa yang boleh jadi terlupa sama seperti kamu. Apabila aku terlupa, peringatkanlah kepadaku. Apabila kamu merasa ragu-ragu ketika sembahyang, hendaklah kamu berusaha mencari yang sepatutnya dan menyempurnakannya jika kurang, selepas itu hendaklah kamu melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Daripada Ibn Mas'ud, bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan solat Zuhur lima rakaat, kemudian Baginda ditanya, Apakah ada penambahan dalam solat?’, Jawab Baginda, Apakah yang dimaksudkan itu? Mereka berkata, ‘Kamu telah solat lima rakaat. Lalu Baginda melakukan dua kali sujud setelah memberi salam (Riwayat Jamaah, lihat Nayl al-Autar 3:121).
Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. solat Zuhur atau Asar bersama para sahabat. Baginda salam setelah solat dua rakaat, kemudian orang-orang yang bergegas keluar dari pintu masjid berkata, 'Solat telah diqasar (dikurangi)?' Nabi s.a.w. pun berdiri untuk bersandar pada sebatang kayu, sepertinya Baginda marah. Kemudian berdirilah seorang laki-laki dan bertanya kepadanya, 'Wahai Rasulullah, apakah anda lupa atau memang solat telah diqasar?' Nabi berkata, 'Aku tidak lupa dan solat pun tidak diqasar.' Laki-laki itu lantas berkata, 'Kalau begitu anda memang lupa wahai Rasulullah.' Nabi s.a.w. bertanya kepada para sahabat, 'Benarkah apa yang dikatakannya? Mereka pun mengatakan, 'Benar.' Maka tampillah Nabi s.a.w., selanjutnya Baginda solat untuk melengkapi kekurangan tadi, kemudian salam, lalu sujud dua kali, dan salam lagi (Muttafaq ‘Alaih).
Daripada Ibn Mas'ud, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu meragui dalam solatnya, maka dia hendaklah mempastikan yang mana yang betul, kemudian sempurnakanlah solatnya mengikut yang diyakininya lebih betul itu, kemudian hendaklah ia memberi salam, selanjutnya sujud dua kali (Riwayat al-Jama’ah kecuali al-Tirmiziy, lihat Nayl al-Autar 3:117).
Daripada Abu Said al-Khudri katanya, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud Apabila seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam solatnya, dengan tidak dapat mengingati bilangan rakaat yang telah dilakukan sama ada tiga atau empat, maka hendaklah mengenepikan perasaan ragu-ragu itu sebaliknya teruskanlah solat mengikut keyakinannya, kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam. Jika ia telah solat lima rakaat, maka hal itu memberi syafaat kepadanya dan jika ia menyempurnakan solat empat rakaat, maka dua sujud sahwi adalah merupakan denda (seksaan) kepada syaitan (HR. Muslim).
Jelaslah bahawa sujud sahwi disyariatkan untuk menampung kekurangan solat bagi mengelak daripada mengulangi semula solat dengan sebab tertinggal perkara yang bukan menjadi perkara asas dalam solat atau menambahkan sesuatu dalam solat.
Keterangan Pertama:
Kerana lupa tasyahhud awal di raka'at kedua, jika solat itu lebih dari dua
raka'at, misalnya solat Zuhur, Asar, Maghrib dan ‘Isyak.
Dari al-Mughirah r.a., berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Apabila seseorang itu berdiri dari raka'at yang kedua, tetapi belum sempurna berdirinya, maka hendaklah ia duduk kembali dan jika telah sempurna berdiri, maka janganlah ia duduk, dan hendaklah ia sujud dua kali, iaitu sujud sahwi. (Hadith Riwayat Ahmad).
Dari Abdullah bin Buhainah, bahawa Rasulullah s.a.w. solat Zuhur bersama mereka, beliau terus berdiri setelah dua rakaat pertama dan tidak duduk. Para jama'ah pun tetap mengikuti Baginda sehingga Baginda selesai menyempurnakan solat, orang-orang pun menunggu salam Baginda, akan tetapi Baginda bertakbir dalam keadaan duduk (tasyahhud akhir), kemudian Baginda sujud dua kali sebelum salam, lalu salam (Muttafaq ‘Alaih).
Keterangan Kedua:
Kerana meragui bilangan raka'at solat, Apakah sudah 3 raka'at atau
sudah 4 raka'at. Begitulah juga kalau sholat itu 2 atau 3 raka'at, maka ambillah yang kurang dari dua yang diragukan itu, lalu tambahlah satu raka'at lagi, kemudian sujudlah karena kita terlupa.
Daripada Abu Said al-Khudri katanya, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud Apabila seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam solatnya, dengan tidak dapat mengingati bilangan rakaat yang telah dilakukan sama ada tiga atau empat, maka hendaklah mengenepikan perasaan ragu-ragu itu sebaliknya teruskanlah solat mengikut keyakinannya, kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam. Jika ia telah solat lima rakaat, maka hal itu memberi syafaat kepadanya dan jika ia menyempurnakan solat empat rakaat, maka dua sujud sahwi adalah merupakan denda (seksaan) kepada syaitan (HR. Muslim).
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang sembahyang dan menurut kata Ibrahim: Baginda menambah atau mengurang rakaat sembahyangnya, maka setelah selesai memberi salam, baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah ada sesuatu yang telah terjadi pada sembahyang tadi? Rasulullah s.a.w bertanya kembali: Perkara apakah itu? Lalu dijawab: Sesungguhnya kamu telah mengerjakan sembahyang begini dan begini. Beliau berkata: Seketika itu juga Rasulullah s.a.w melipatkan kedua kakinya dan mengadap kiblat, lalu baginda sujud sebanyak dua kali, lantas baginda memberi salam. Kemudian beliau berpaling ke arah kami seraya bersabda: Seandainya terjadi sesuatu semasa dalam sembahyang, maka aku ingin menerangkannya kepada kamu. Tetapi aku juga manusia biasa yang boleh jadi terlupa sama seperti kamu. Apabila aku terlupa, peringatkanlah kepadaku. Apabila kamu merasa ragu-ragu ketika sembahyang, hendaklah kamu berusaha mencari yang sepatutnya dan menyempurnakannya jika kurang, selepas itu hendaklah kamu melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikianlah ulasan ringkas mengenai Sujud Sahwi, semoga penjelasan ini dapat membantu saudara/i.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan