Khamis, 13 Januari 2011

Rahsia pemakanan sihat..

  SEBIJI epal sehari menjauhkan anda daripada doktor. Begitulah khasiat buah epal jika anda mengamalkannya dalam diet harian kerana ia kaya dengan sumber antioksida dan vitamin C. Manakala kandungan antioksida seperti flavonoid mampu memerangi penyakit kanser.Kandungan quercitin dalam buah epal mampu mengelakkan kita daripada mendapat penyakit alzheimer.
              Begitu banyak khasiat buah epal. Kerana khasiatnya inilah yang membuatkan saya ingin berkongsi satu resipi pencuci mulut yang menggunakan epal iaitu Crumble Epal.Pencuci mulut ini sebenarnya adalah epal yang dibakar bersama adunan crumble. Selalunya epal jenis Granny's Smith adalah paling sesuai.Tekstur epal hijau yang sedikit masam dan rangup membuatkan saya menggemari pencuci mulut ini. Namun terpulang kepada anda sekiranya ingin menggunakan epal jenis lain. Tetapi pilihlah buah epal yang segar, keras dan rangup supaya lebih enak dinikmati.
Epal perlu dipotong baji (wedges) atau dadu. Pastikan ia tidak terlalu tebal dan besar supaya mudah masak apabila dibakar.
               Crumble membawa maksud rangup dan rapuh. Campuran bahan-bahan asas untuk membuat crumble adalah seperti mentega, tepung, gula, kacang walnut dan oat. Campuran ini akan digaul sehingga menjadi seperti serbuk roti yang lembap. Ia akan menjadi rangup, rapuh dan keemasan sesudah dibakar bersama epal yang dicincang.
Gunakan rolled oat iaitu emping oat. Ia berlainan daripada oat yang biasa kerana ia diemping dan memberikan kerangupan pada crumble anda nanti. 
                Rolled oat boleh dibeli di kedai-kedai menjual bahan-bahan pastri. Jika tiada pilihan anda boleh menggunakan oat yang biasa dijual di pasar raya atau menggantikan dengan Nestum.
Terdapat teknik yang perlu diketahui apabila anda menggaul bahan-bahan crumble. Anda boleh menggunakan pemperoses makanan, mesin pengadun kek atau menggunakan tangan.
                Sekiranya menggunakan tangan bahan-bahannya perlu digaul dengan cepat kerana dikhuatiri suhu tangan yang panas akan menyebabkan mentega cair dan menjadikan tekstur crumble kurang rangup apabila dibakar.
Berhenti menggaulnya apabila adunan telah sebati dan membentuk serbuk roti. Suhu mentega yang digunakan juga penting.
                Mentega perlu didadu kecil supaya ia mudah diadun. Buah epal yang digaul dengan bahan-bahan lain ditabur dahulu dalam bekas pembakar sebelum menabur crumble di atasnya. Pastikan crumble diratakan di atasnya supaya ia masak dengan sekata.
                Crumble Epal yang sudah masak boleh dipastikan dengan melihat warnanya bertukar menjadi perang dan rangup di samping buah epal mengeluarkan sedikit jusnya. Sekiranya ingin rasa yang lebih enak makanlah bersama aiskrim vanila.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan